Get the latest Malaysia news stories and opinions with focus on National

Thursday, January 15, 2015

29 ditahan sedang khayal sambut hari lahir

29 ditahan sedang khayal sambut hari lahir

Seramai 29 individu termasuk dua anggota polis bantuan sebuah bank tempatan ditahan ketika sedang khayal disyaki akibat penggunaan dadah di bilik sebuah hotel di Jalan Batu Tiga Lama, Klang semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Mohd Shukor Sulong berkata serbuan kira-kira 3 pagi itu menyaksikan penahanan 10 wanita dan 19 lelaki.
"Hasil pemeriksaan di bilik itu, polis menjumpai pelbagai jenis dadah antaranya 15 pil ecstasy, sebiji pil erimin 5, bekas air lima liter yang disyaki berisi air ketum dan satu peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki ketamin," katanya dalam kenyataan.
Kesemua yang ditahan berumur antara 20 dan 37 tahun dan bekerja antaranya sebagai juruteknik, pemandu, pekerja bank selain polis bantuan.
Mohd Shukor berkata siasatan awal mendapati kumpulan itu sedang meraikan hari lahir seorang daripada mereka ketika serbuan dilakukan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pendaki sesat
Sementara itu, empat warga Singapura dilaporkan sesat di Gunung Angsi, dekat Kuala Pilah selepas mendaki gunung itu awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata mereka terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berumur dalam lingkungan 21 hingga 27 tahun.
"Mereka dilaporkan mula mendaki gunung tersebut pada pukul 8 pagi tadi dan dikatakan hilang arah pada pukul 11 pagi. Kami menerima panggilan kecemasan daripada pihak polis kira-kira pukul 7.30 malam.
"Berikutan itu, operasi mencari dan menyelamat mangsa bermula pada pukul 8 malam disertai 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah dan Senawang," katanya ketika dihubungi Bernama malam tadi.
Bagaimanapun, katanya, keempat-empat mangsa itu ditemui dalam keadaan selamat berhampiran asrama sebuah kilang di Senawang pada pukul 9 malam.
Katanya mereka kelihatan penat dan tidak bermaya disebabkan sesat dalam tempoh masa yang lama.
- Bernama

No comments:

Post a Comment